Rabu, Januari 28

Jodoh???.....


Bila nak kahwin? Mengapa tak kahwin lagi? Persolan yang selalu ditimbulkan ... kadang-kadang membosankan. Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa2 lewat sembahyang. Allah mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri drpd menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar2 mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga dtg bersama masalah.

Kita selalu melihat org memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya org itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula org yang memandu kereta mewah(walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih ketika berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda. Bak kata orang besar periuk,besarlah juga keraknya.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Kita pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah bandar raya walaupun mungkin yang sudah ada kereta tapi sengaja bermotosikal bagi mengelakkan kesesakkan. Pada waktu dan ketika sebegitu nilai kereta bukan bukan sesuatu yang penting kerana apa juga jenis dan nilainya turut sama terlibat dengan kesesakkan.Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai org yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Jangan pula bila banyak persoalan yang ditimbulkan hilang rasa keinginan untuk berkahwin...

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing2 padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata? Memang ada walaupun tak ramai...

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri atau suami tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa2 belum bersedia untuk bersabar dgn kerenah anak2, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar2 mengerti tuntutan2nya.Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus2 bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui rahsia2nya. Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong2nya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang. "

Perkahwinan???......

Perkahwinan merupakan satu tuntutan yang dikenakan kepada umat manusia di muka bumi ini. Pernikahan itu sendiri merupakan satu syariat dan rahmat daripada Allah s.w.t. kepada manusia. Melaluinya akan terjalin perasaan kasih sayang antara lelaki dan perempuan. Sesungguhnya perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia yang memerlukan teman bagi perkongsian hidup di dunia ini.

Sejarah penciptaan Adam dan Hawa membuktikan betapa pentingnya hubungan antara lelaki dan perempuan. Selain berkongsi kasih sayang, ia juga mampu mengembangkan zuriat manusia sehingga hari ini. Justeru itu perkahwinan diciptakan oleh Allah s.w.t. dengan penuh hikmah kepada hamba-Nya.

Sehubungan itu, setiap manusia sama ada lelaki mahupun perempuan pastinya mempunyai keazaman untuk berumah tangga. Cumanya, cepat atau lambat bertemu jodoh adalah ketentuan dan bidang kuasa Allah s.w.t. semata-mata. Ada individu yang cepat bertemu jodoh tetapi berakhir dengan perceraian dan ada pula yang ringan jodohnya dan kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.

Sebenarnya ia adalah senario biasa di dalam kehidupan masyarakat. Justeru bagi pasangan yang berumah tangga, peliharalah masjid yang dibina dengan sebaiknya iaitu mengikut saranan agama dan mencontohi rumah tangga Rasulullah s.a.w. Nikah adalah sunah Rasulullah s.a.w. kepada seluruh umat baginda. Setiap manusia sama ada lelaki atau perempuan berhak menikmati kasih sayang dan rahmat tersebut.

Merujuk kepada anak dara lanjut usia atau andalusia yang pernah hangat dibincangan dalam masyarakat. Sebenarnya ia bukanlah suatu isu besar jika masyarakat kembali kepada prinsip, iaitu soal jodoh pertemuan yang merupakan ketentuan Allah s.w.t. Sesungguhnya jodoh manusia itu adalah kerja Allah yang ditetapkan olehNya. Andalusia bukanlah masalah sosial yang berat di dalam masyarakat jika dibandingkan dengan permasalahan yang ditanggung oleh ibu tunggal, anak yatim atau dibandingkan dengan berbagai-bagai kes salah laku akhlak seperti seks bebas, sumbang mahram dan sebagainya.

Namun demikian, kaum wanita tidak boleh berpegang kepada prinsip jodoh semata-mata. Ini kerana Allah s.w.t. mengurniakan akal dan usaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Islam membolehkan wanita berusaha dan merancang untuk membina rumah tangga dengan lelaki pilihan. Pepatah Melayu `perigi mencari timba' bukanlah suatu yang menyalahi syariat.
Tradisi ini telah dipecahkan melalui perkahwinan Siti Khadijah r.a. dengan Rasulullah s.a.w. Sama ada wanita yang berjawatan tinggi atau sebaliknya, apa yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. ini boleh dijadikan teladan kepada sekalian umat. Apa kurangnya Siti Khadijah jika hendak dibandingkan dengan wanita professional hari ini?

Beliau wanita kaya, tokoh korporat yang berjaya dan juga banyak umurnya ketika berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. yang berusia 25 tahun. Tetapi soal yang paling penting ialah sejauh manakah setiap wanita boleh menerima perkongsian dengan lelaki di dalam hidup mereka. Ini kerana pernikahan merupakan satu perkongsian antara lelaki dan perempuan.
Justeru itu, kaum wanita berhak menentukan lelaki pilihan masing-masing sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan Siti Khadijah r.a. Untuk itu, wanita boleh mempraktikkan garis-garis yang dianjurkan Islam dalam pemilihan jodoh atau calon suami. Sama ada lelaki atau perempuan, mereka diberikan kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing mengikut kesesuaian diri masing-masing. Di antara garis-garis anjuran syarak ialah :

· i. harta
· ii. keturunan
· iii. kecantikan
· iv. agama

Meskipun saranan ini seringkali diamalkan oleh pihak lelaki ketika memilih calon isteri, sebenarnya wanita juga boleh mengaplikasikannya ketika memilih calon suami. Empat ciri yang dianjurkan syarak boleh membantu membentuk keluarga bahagia. Namun demikian sekiranya keempat-empat ciri tidak dapat dipenuhi oleh calon suami, maka utamakan anjuran keempat iaitu agama. Selain itu, konsep sekufu juga boleh diamalkan dalam pemilihan calon suami ketika mengatur atau merancang berumah tangga. Persamaan taraf ini juga perlu diberi perhatian agar perkahwinan yang dibina kekal bahagia hingga akhir hayat. Ini kerana kegagalan sesebuah rumah tangga membawa kesan lebih buruk lagi terutamanya pihak suami-isteri, anak-anak dan masyarakat amnya.

Oleh itu, setiap pasangan harus menyedari bahawa perkahwinan bukanlah bertujuan memenuhi tuntutan naluri seksual semata-mata. Sebaliknya perkahwinan adalah satu perkongsian hidup antara dua insan lelaki dan perempuan. Kedua-dua pihak mestilah sedia berkongsi dalam apa jua hal, sama ada kasih sayang, tanggungjawab, peranan dan sebagainya.
Justeru itu, tidak wujud istilah lelaki atau wanita kolot yang diperkatakan dewasa ini jika amalan perkongsian dipraktikkan. Jika isteri sanggup berkongsi membantu suami menambahkan sumber pendapatan keluarga, maka suami pula mestilah ringan tulang membantu isteri di rumah seperti memasak, membasuh dan sebagainya.

Sebenarnya nilai kesefahaman dan kerjasama suami isteri sangat penting dalam membina rumah tangga yang rukun dan tenteram. Setiap pasangan sama ada lelaki atau perempuan mestilah menerima pasangan masing-masing dengan seadanya. Ini kerana setiap individu ada kekurangan dan ia boleh diatasi dengan kelebihan pasangannya. Kesimpulannya soal jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah s.w.t., tetapi manusia dikurniakan akal dan kudrat untuk merancang kehidupan masing-masing. Apa yang pasti kebahagiaan rumah tangga bermula daripada pemilihan bakal suami atau bakal isteri mengikut saranan agama. Manakala rumah tangga yang bahagia terletak kepada semangat perkongsian dan musyawarah antara suami isteri serta menerima pasangan masing-masing seadanya.