Selasa, Januari 6

Jadilah seperti lalang.....



Mungkin ada orang yang tidak setuju dengan kenyataan di atas . Walaupun sering diumpamakan seperti orang yang tiada pendirian tetapi disebalinya tersirat banyak kekuatan yang boleh kita jadikan panduan di dalam hidup ini. Oleh kerana sejak dari dulu lagi dilabelkan sebagai tumbuhan yang banyak mendatangkan masalah kepada manusia khususnya petani, kita langsung tidak melihat kelebihannya. Begitulah manusia lebih suka bercakap tentang sesuatu yang buruk tentang orang lain daripada memperkatakan kebaikannya. Dalam banyak keadaan kita boleh mencontohi lalang....

Agar kita lebih memahami bagaimana sifat jati diri boleh diumpamakan atau dicontohi dengan merujuk kepada lalang, marilah kita mengkaji lima sifat lalang yang begitu terserlah

1.Lalang Tetap Kukuh Pada Dasarnya.

Benar bahawa lalang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Namun perhatikan betapa kuat sekali pun angin yang bertiup, lalang tidak terlepas daripada dasarnya. Pokok mungkin tumbang, atap rumah mungkin terangkat, tetapi lalang tetap pada dasarnya. Ia tidak berganjak walau sedikit jua.

Ini adalah salah satu sifat lalang yang patut dimiliki oleh umat Islam yang berjati diri. Kita patut, bahkan wajib, memiliki dasar yang kuat dalam pegangan agama kita. Dasar ini tidak berganjak sekali pun ditiup oleh pelbagai arus yang ingin memusnahkannya.

2.Lalang Mudah Melentuk Namun Tetap Berpaksi Pada Dasarnya.

Sifat lalang yang mudah melentuk tidak patut dipandang sebagai satu kelemahan. Ini kerana melentuk ke arah mana sekali pun, ia tetap berpaksi pada dasarnya.Berbeza dengan daun kering yang ditiup angin, ia terbang mengikuti angin dengan meninggalkan tempat asalnya. Ini barulah boleh dianggap sebagai satu kelemahan.Sifat lalang yang kedua ini boleh kita rumuskan sebagai kukuh pada perkara dasar yang sememangnya tidak boleh berubah manakala fleksibel pada perkara cabang yang boleh disesuaikan dengan zaman dan tempat.

3.Lalang Amat Sukar Dimusnahkan.

Sesiapa yang pernah berinteraksi dengan lalang pasti akan mengetahui bahawa ia amat sukar untuk dimusnahkan. Jika dipotong ia tumbuh kembali, jika dicabut ia mentunas kembali. Pilihan yang ada ialah mencabut hingga ke akarnya atau menyembur racun lalang. Ini juga tidak menjamin keberhasilan yang 100%. Tidak jarang ia tetap tumbuh semula.

Sifat lalang ini wajib ada pada diri kita umat Islam. Kita tidak boleh putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri daripada pelbagai arus yang bukan sahaja mencabar kita, tetapi seakan-akan ingin menenggelamkan kewujudan kita dan agama yang kitacintai. Maka sebagaimana lalang memiliki jati diriuntuk terus hidup, kita umat Islam juga wajib memiliki jati diri yang jauh lebih kental untuk terus hidup menghadapi pelbagai arus yang menentang kita. Istilah putus asa, hampa, bersedih, mengalah atau melarikan diri tidak boleh wujud dalam kamus umat Islam.

4.Lalang Mudah Lagi Cepat Berkembang.

Lalang bukan sahaja sukar dimusnahkan, ia juga mudah lagi cepat berkembang dalam masa yang singkat walaupun dibakar dan diracun. walaupun daunnya musnah tetapi akarnya tetap kekal dan membiak.

5.Lalang Mampu Memberi Pengaruh Kepada Manusia.

Cuba berjalan di atas lalang, pasti kulit kaki terasa miang. Tumbuhan yang dianggap remeh oleh kebanyakan manusia mampu memberi pengaruh kepadanya? Ya! Begitulah hakikatnya, ia boleh memberi kesan secara langusng walau dalam keadaan apa cara sekalipun. Tidak sekadar itu, lalang juga mampu memberi pengaruh dalam bentuk ia dapat dijadikan bahan membuat atap bagi pondok-pondok dikawasan pendalaman. Pengajaran penting yang dapat diambil iktibar adalah,sekali pun dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya, kita masih mampu untuk menukar pandangan tersebut. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Jika setiap daripada kita berusaha untuk memberi pengaruh yang positif kepada dunia dan manusia, pasti duniaakan mengubah pandangannya terhadap Islam dan kita. Akuilah bahawa dunia memandang kecil kepada Islam dan umatnya disebabkan oleh sikap kita sendiri yang selama ini amat minimum dalam memberi apa-apa pengaruh positif kepada dunia.


Sebagai manusia kita sering lupa atau terlanjur, maka lalang sentiasa ada untuk mengingatkan semula kejatian diri kita. Ingat!Allah Subhanahu wa Ta'ala tidak mencipta sesuatu untuk sia-sia melainkan ia memiliki hikmah dan manfaat untuk kita.

Insya'Allah jika sama-sama mengambil iktibar dengan setiap sesuatu kejadian atas mukabumi ini...sudah pasti kita tidak mudah terpengaruh,..terpedaya..dan terjebak dgn apa jua pengaruh yang boleh merosakkan n menjatuhkan maruah kita sbg seorang Muslim walau dimana sahaja kita dicampakkan atas muka bumi ini...InsyaAllah...!